Jumaat, 24 April 2009

Cerpen-Budi (Mohnas)

BUDI SEORANG GURU
OLEH: MOHNAS
SEWAKTU aku memandang wajah pelajar itu, aku teringat luahan ibu, "Hari ini manusia memerlukan wang untuk mendapatkan pendidikan, bukan lagi memerlukan pendidikan untuk mendapatkan wang." Kata-kata itu dilafaz sewaktu aku dan kakak sulungku serentak berjaya melangkahkan kaki ke universiti.
Hari ini, aku benar-benar mengakui kata-kata ibu. Anak gadis itu menjadi bukti kata-kata ibu. Dulu, aku menganggap kata-kata itu keluhan semata-mata, tetapi hari ini aku benar-benar meyakini hal itu.
"Maaf cikgu, saya masih belum dapat bayar. Bapa minta saya sampaikan salam pada cikgu dan dia minta tangguh bayaran itu hingga ke bulan hadapan."
"Faizah, sepatutnya tarikh akhir bayarannya adalah seminggu lagi. Saya sepatutnya menyerahkan yuran SPM ini pada akhir minggu ini." Aku mengeluh sambil menangkap anak mata jernih Faizah.
"Saya tahu cikgu, tetapi bapa berjanji dia akan melangsaikan akhir bulan ini."
Wajahnya mengharap simpati.
Aku mencongak-congak akhir bulan itu. Hari ini baru awal bulan. Lebih kurang tiga minggu lagi. Aku menggeleng-geleng kepala.
"Baiklah, awak balik dulu. Saya akan usahakan nanti." Aku menyandar dan kata-kata ibu menyerkap benakku.
Faizah beredar dari bilik guru itu. Cikgu Hilwana datang menghampiriku.
"Mengapa?" Tanya cikgu lepasan UKM itu. Wajahnya ghairah untuk mengetahui.
Aku tersenyum melihat kerut pada dahi Cikgu Hilwana. Setiap kali ada pelajar perempuan yang datang berbual-bual denganku, pastilah dia tidak segan-silu bertandang ke mejaku. Adakah wanita itu cemburu melihat kemesraanku dengan pelajar perempuan? Atau yang lebih tepat adakah wanita itu menaruh hati padaku?
"Mengapa?" Aku ingin menduga perasaannya. Dia mengerut dahinya lagi. "Mengapa mengapa?" Dia kebingungan. "Mengapa cikgu tanya?"
"Oh, tidaklah. Saya pernah mengajar Faizah. Sejak tingkatan dua lagi. Waktu PMR dia bermasalah kewangan sehingga terlambat membayar yuran peperiksaan. Lewat sebulan dari tarikh yang dijanjikan." Cikgu Hilwana mengukir senyuman. Senyuman itu untuk akukah? Atau ada kilasan sindiran?
Aku malu sendiri kerana menyangka bukan-bukan. Namun, tindakannya benar-benar ghairah bertanyakan urusan aku, menimbulkan takjub juga.
"Sekarang masalah sama?" soal Cikgu Hilwana apabila tidak mendapat respons daripadaku.
Aku mengangguk-angguk. Aku terdiam seketika seolah-olah menunggu respons lagi daripada Cikgu Hilwana. Guru-guru lain keluar masuk, sepintas lalu melihat kami berdua. Tentulah pada pemikiran mereka sudah berbunga sangkaan bukan-bukan. Mereka tahu, Cikgu Hilwana berusaha untuk mendekati aku sedangkan aku sendiri melayan Cikgu Hilwana biasa sahaja. Biarkan mereka dengan sangkaan itu.
"Dulu macam mana yang cikgu buat?" Aku cuba mengorek sejarah Faizah apabila Cikgu Hilwana terdiam. Barangkali, dia agak malu apabila hanya dia sahaja yang bercakap. Tentulah, diakan masih seorang anak gadis.
"Saya terpaksa tangguhkan dulu pembayarannya. Saya cadangkan dahulukan duit saya, tetapi dia berkeras menolak. Katanya, bapa melarang menerima duit daripada orang lain," jelas Cikgu Hilwana dengan suara separuh berbisik seperti kata-katanya sebentar tadi rahsia besar.
Aku tahu mudah benar mengorek rahsia daripada cikgu perempuan ini. Mulutnya tidak lokek untuk memberitahu orang tentang rahsia yang berlaku di bilik guru ini, dan juga rahsia yang berlaku di sekolah ini. Lebih-lebih lagi kepadaku. Aku tersenyum lagi.
"Mengapa sampai begitu sekali?"
Cikgu Hilwana mengangkat bahu dan dia tersenyum. Senyuman itu seolah-olah menggoda. Aku meminggirkan perasaan itu. Cikgu Hilwana kembali ke mejanya.

Aku memasukkan duit ke dalam sampul surat. Sampul itu aku letakkan dalam buku Faizah. Sewaktu aku berbuat demikian, kata-kata ibu terngiang-ngiang di telinga, "Hari ini manusia memerlukan wang untuk mendapatkan pendidikan, bukan lagi memerlukan pendidikan untuk mendapatkan wang."
Tidak lama kemudian, Faizah datang mengambil buku-buku latihan kelasnya. Dia mampir ke mejaku dengan keadaan malu alah. Dia masih belum dapat membayar yuran walaupun masa yang dijanjikan sudah berlalu.
Setelah Faizah beredar dari bilik guru, aku menunggu-nunggu kedatangannya seolah-olah bersiap sedia untuk menerima kembali pulangan daripada Faizah. Seolah-olah aku yakin dia akan menolak pertolongan aku ini. Sebenarnya, aku sendiri mengharapkan dia memulangkan kembali wang itu supaya perancangan aku untuk bertemu bapanya berjaya.

Tiada ulasan: